Monday, December 6, 2010

Apa pantas berharap syurga?

Salam Maal Hijrah.

Selepas solat Maghrib semalam, buku doa susunan Drs. Miftah Faridi diselak-selak bagi mencari doa awal tahun. Siapa suruh tak hafal kan. Dalam mencari, aku terpana pada tajuk ''Permohonan Ahli Neraka Sebagai Suatu Peringatan." Nampak sangat jarang baca buku doa ni.

Muka surat 223 dibuka.

1. Meminta keluar dari neraka

Mereka menjawab: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?” (40:11)

2. Meminta untuk dikembalikan ke dunia untuk beriman dan beramal

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (32:12)

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu”. Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): “Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? (14:44)

3. Mengharap simpati dari penghuni syurga

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”. (7:50)


Di dunia, jika manusia berasa lemah, sedih dan takut atau jika mereka diuji dengan ujian yang berat, pastilah kepada
Allah mereka akan berpaling dan memohon untuk mencari ketenangan dan kekuatan.

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (40:60)


Tapi, di alam sana, semua doa dan permohonan penghuni neraka tidak pernah diterima oleh Allah.

Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan”. (52:16)

(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”. (32:14)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat): “Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur”. (40:10)


Apabila Yang Maha Berkuasa sudah berfirman sebegitu, kepada siapa lagi mahu bergantung harap dan memohon pertolongan?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.


Bukan sekadar ahli neraka menyesali perbuatan mereka ketika hidup di dunia, malah para ahli syurga juga sentiasa mencemburui para ahli syurga yang ditingkat atas, apatah lagi para ahli syurga Firdaus yang telah dijanjikan dengan nikmat yang paling tinggi di syurga iaitu nikmat melihat wajah Allah sebanyak dua kali sehari (pagi dan petang). Lantas mereka berasa menyesal, menyesal kerana tidak memperbanyakkan lagi amalan ketika di dunia.

Teringat kata seorang sahabat dari Turki, "We want to go to Jannah because we want to meet Allah."

Tergerak hati aku pada saat itu. Amalan yang terlalu sedikit, yang sangat sedikit, yang masih tak tahu statusnya sama ada diterima ataupun tidak, yang aku pun tak pasti sudah cukup memenuhi syarat beribadah ataupun tidak, yang kadang ikhlasku entah ke mana, bagaimana mungkin aku layak bertemu Allah?


Tuhan ku
Aku tidak layak untuk syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup untuk ke neraka MU
Oleh itu kurniakanlah ampunan kepada ku
Ampunilah diri ku
Sesungguhnya ENGKAU lah pengampun dosa-dosa besar


Sungguh, tiadalah manusia dikurniakan syurga hanya kerana amalan yang dilakukan semata-mata melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

...Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. (24:21)

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)


Beramallah dengan sebanyak-banyak dan sebaik-baiknya serta pohonlah rahmat Allah dengan penuh pengharapan. Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi dan menyesal pada hari di mana pintu taubat sudah ditutup rapat.


Berkata Syeikh Abu Said al-Kharraz:
Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kpd Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal saleh.


Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. (32:15)


Moga tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya.

P/s: Nabi bukanlah berhijrah pada bulan Muharram. Kalendar tahunan Islam diwujudkan pada zaman Sayidina Umar. Bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama kerana pada bulan tersebut umat Islam baru selesai menunaikan ibadat haji.
Boleh rujuk --> http://drmaza.com/home/?p=1297

No comments: