Thursday, February 25, 2010

Surat Untuk Kau


Assalamualaikum. Apa khabar kau sekarang? Aku harap kau senantiasa sihat dan tenang di sana. Dah lama aku nak tulis surat untuk kau, tapi jari-jemari aku ni terlalu gugup untuk menulis. Bukan kerana malas atau sejuk, tapi sebab aku takut. Takut apa aku sendiri pun tak pasti. Aku tulis ni pun sekadar untuk meluah apa yang sudah lama tersimpan di hati, tiada niat lain.

Aku ingat lagi masa aku kena demam campak dulu. Aku sepatutnya tidur berasingan supaya tidak berjangkit. Tapi aku takut nak tidur sorang-sorang. Masa tu, takde orang nak tidur dengan aku kecuali kau. Dahla masa tu kau nak periksa besar, SPM. Sampaikan masa kau SPM, kau pula yang kena demam campak. Salah aku la tu. Kau terpaksa jawab soalan dalam satu bilik khas sorang-sorang. Nasib baik keputusan kau elok, kalau tak mesti aku rasa bersalah seumur hidup.

Ingat tak masa hari jadi aku dulu, kau ada bagi aku satu buku yang pada waktu itu boleh dikira mahal. Yelah, duit poket kita bukannya banyak. Tapi kau tahu aku suka buku sebegitu dan kau belikan. Aku bawa buku tu ke sini. Bila baca buku tu aku teringat pada kau. Kat depan buku tu ada tulis nama kau.

Masa aku masuk sekolah asrama dulu, kau selalu hantar surat kat aku. Panjang suratnya. Bercerita tentang hal-hal yang berlaku di rumah. Hal-hal yang aku tidak berkesempatan merasai bersama dek kerana berada di kejauhan. Masa hari jadi aku, kau hantar kad buatan sendiri dengan sampul yang ada tampal-tampal pelekat sampai penuh. Aku simpan lagi semua tu. Ada dalam laci.

Dulu kita rapat dari yang lain. Aku rasa kau yang paling memahami. Pada kau aku ceritakan segalanya.

Tapi sejak aku datang sini, dah lama kita tak borak-borak. Bila aku balik Malaysia pun, jarang-jarang kita dapat berjumpa. Kau pun selalu sibuk kan. Bayangkan selama tiga tahun ni, takde sekali pun kita berborak panjang macam dulu. Aku bukan apa, tapi kadang-kadang rasa rindu.

Semakin lama, semakin pelik jadinya. Bertegur sapa hanya sekadar hai hai bye bye. Bila kita senyum terasa pelik. Lihatlah macam mana jarak dan masa boleh mengubah kita. Aku selalu berharap kita boleh kembali macam dulu. Tapi harapan tanpa usaha pasti tak membawa ke mana-mana kan?

Sampai masanya kau kena pergi, bila putera idaman kau datang dan bawa kau ke alam baru. Sudah pasti aku akan lebih terasa kehilangan. Aku takut tak dapat kembalikan keadaan macam dulu sebelum kau pergi. Sedih untuk merasa kehilangan buat kali kedua.

Setelah apa yang berlaku, tipulah kalau aku cakap hati aku tak terguris. Tapi terlalu kecil gurisan tu kalau nak dibandingkan dengan rasa sayang aku pada kau. Tak pernah pudar. Aku harap kau tak rasa kau bersendirian. Aku nak kau tahu yang aku akan sentiasa berada di sisi kau. Bukan untuk membenarkan segala yang kau lakukan, tapi untuk membetulkan andai kau tersasar.

Kalau kau rasa hidup ni sukar, bila kau rasa kaki kau dah tak mampu nak melangkah lagi, andai kau berasa kecewa dengan semua, ketahuilah bahawa ada seseorang yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kau. Seseorang yang berada jauh, yang selalu rindukan kau dan yang tak jemu-jemu menunggu sms dari kau.

Aku tulis surat ni untuk kau, tapi aku tak berani nak utus. Sudah penuh bakul sampah aku dengan surat-surat untuk kau. Maafkan aku.

Yang ikhlas,
insan yang seringkali buat salah.



p/s: coretan ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan sama ada dengan yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.

No comments: